Title : Agamawan berlambak melebihi keperluan?
link : Agamawan berlambak melebihi keperluan?
Agamawan berlambak melebihi keperluan?
Slogan Membangun Bersama Islam pada awalnya diperkenalkan pada era Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memerintah Kelantan. Ini adalah kali kedua PAS memerintah Kelantan selepas kali pertama tahun 1977.
Persaingan PAS-UMNO
Persaingan merebut pengaruh politik berlaku antara PAS – yang diketuai Nik Aziz yang memimpin sebuah negeri, iaitu Kelantan – berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerapkan idea Penerapan Nilai-nilai Islam, yang memimpin sebuah negara membangun, iaitu Malaysia.
Dr Mahathir ketika itu turut dibantu oleh timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dikatakan Dr Mahathir membawa Anwar Ibrahim masuk ke dalam UMNO dan kerajaan BN untuk membentengi pengaruh Islam yang semakin pesat bawah PAS.
Idea-idea Islamisasi yang digerakkan oleh kedua-dua sosok (Nik Aziz mahupun Mahathir) bergerak rancak. Mahathir dengan kuasa yang ada padanya, mewujudkan Bank Islam, Universiti Islam dan Jakim.
Bahkan menteri agama yang sering direbutkan aliran Islam di Malaysia, turut diwujudkan oleh Mahathir.
Sementara Nik Aziz meskipun hanya sekadar memerintah negeri –hanya satu negeri oposisi – terus cekal untuk mewujudkan idea-idea Islam yang lebih ‘syariat’, antaranya seperti hudud yang kontroversi.
Bank Islam, Universiti Islam digambarkan sebagai kosmetik atau superficial dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah PAS.
Kesannya persaingan projek Islamisasi ini, Malaysia semakin hari semakin tepu kadar Islamisasiannya dan kian berlambak ulamak atau agamawan melebihi keperluan.
Dalam bab hudud, Nik Aziz dan Mahathir saling berentap. Dikatakan Mahathir selaku pemerintah akan memberikan tindakan keras jika Nik Aziz melaksanakan hudud.
Sementara itu dalam bab dinar emas, kedua-dua sosok ini seperti bersepakat secara tidak rasmi.
Alasan tak dapat royalti minyak
Dikeranakan berkali-kali Kelantan tidak memilih UMNO-BN dalam setiap kali PRU, maka Mahathir membalas keputusan rakyat Kelantan dengan tidak memberikan wang royalti petroleum.
PAS kemudiannya sentiasa menggunakan alasan itu bila dikritik terhadap ketidakmajuan memerintah negeri tersebut. Walaupun dalam masa yang sama, tidak semua negeri di Malaysia mempunyai minyak.
Dan PAS teraba-raba tanpa arah sepeninggalan Nik Aziz. Perpecahan berlaku selepas itu yang mewujudkan Amanah. Dan PAS sepenuhnya didominasi oleh kaum agamawan, berbeza dengan sebelumnya iaitu golongan profesional, aktivis dan agamawan saling bergandingan.
Meskipun PAS masih memimpin Kelantan sehingga ke hari ini (32 tahun), tidak banyak pencapaian yang dapat dibanggakan hasil slogan Membangun Bersama Islam. Slogan itu nampaknya kekal retorik dan basi, sepertimana kebanyakan retorik kumpulan Islam di seluruh dunia.
Air bersih
Untuk menyediakan air bersih pun, parti Islam yang memerintah Kelantan berpuluh tahun itu tidak mampu. Dikatakan hanya 71.7% penduduk Kelantan mendapat air bersih.
Kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pemimpin PAS yang menjadi menteri alam sekitar dan air, masalah air di Kelantan hanya akan selesai dalam 30-40 tahun lagi.
Tempoh PAS memerintah Kelantan ialah tiga kali tempoh Nabi Muhammad SAW memerintah Madinah
Bagaimanakah kita boleh percayakan janji-janji manis ini, sedangkan selama 32 tahun PAS memerintah, mereka masih gagal menyediakan basic needs tersebut? Tempoh PAS memerintah Kelantan ialah tiga kali tempoh Nabi Muhammad memerintah Madinah.
Tetapi kita belum mendengar nabi dan sahabat serta penduduk Madinah minum air kotor sepanjang pemerintahannya. Adakah ini cumalah sekadar satu janji dari beribu janji orang politik untuk terus memerintah?
Selain itu kerajaan Islam itu juga tidak mampu menyediakan peluang ekonomi kepada rakyatnya sendiri, yang menyebabkan rakyatnya terpaksa merantau ke negeri-negeri lain.
Dan untuk menampung ekonomi rakyat di dalam negeri, mereka juga terpaksa membalak hasil-hasil hutan.
Perubahan iklim yang membahang
Perhatian PAS pada ekologi sangatlah mengecewakan. Di kala dunia berdepan dengan climate change termasuk iklim yang begitu panas membahang, PAS masih kekal membalak.
PAS vs Orang Asli
Hutan-hutan ditarah dan digondolkan. Kawasan penempatan Orang Asli dihancurkan. Dilaporkan seramai tiga pemuda yang mewakili penduduk di dua perkampungan Orang Asli di Gua Musang memfailkan saman terhadap 14 entiti termasuk kerajaan Kelantan berkenaan isu pencerobohan tanah pusaka milik nenek moyang mereka.
Seperti hijaunya bendera PAS
Sementara itu pula, negara-negara kafir di Barat, mereka mula beralih ke persekitaran yang lebih hijau –seperti hijaunya bendera PAS – dan PAS pula mahu meratakan hutan-hutan yang ada di negerinya untuk menjadi seperti negara padang pasir di tanah Arab.
Tetapi PAS meskipun iklim dunia makin kuat membahang, mereka nampaknya lebih teruja atau masih ketagih dengan persoalan mengawal moral insani berbanding mengawal atau menghentikan kegiatan pembalakan dan mencari alternatif ekonomi baru.
Menutup aurat
Dilaporkan kakitangan awam di Kelantan yang didapati berpakaian tidak menutup aurat khususnya bagi kakitangan wanita akan dikenakan tindakan.
Di Kelantan, melakukan perbuatan tidak sopan termasuk cara berpakaian boleh membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara enam bulan.
Bekas mufti beri tumpuan utama kepada hukum makan penguin
Terbaru bekas mufti Wilayah Persekutuan dilaporkan memberi pandangan tentang hukum makan penguin.
Bekas mufti yang berasal daripada Pantai Timur (Terengganu) nampaknya tidak tertarik langsung untuk memberi komentar sepatah dua kata tentang harimau-harimau yang keluar bersiar-siar ke kawasan penempatan manusia selepas kawasan mereka dihancurkan.
Beliau nampaknya lebih tertarik dengan penguin walaupun sehingga ke hari ini belum ada seekor pun penguin bertelur di Malaysia.
11 ekor harimau berkeliaran
Baru-baru ini di perkampungan orang asli Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan dilaporkan ada kelibat 11 ekor harimau belang yang berkeliaran di kawasan itu.
Sebelum itu, awal tahun ini pada 7 Januari seorang lelaki Orang Asli Anek Along mati dibaham harimau dalam kejadian Kampung Sau, Pos Bihai.
PAS nyatanya tidak mempedulikan langsung apa yang terjadi kepada Orang Asli pagan yang menghuni dalam kerajaan Serambi Mekah.
Kerajaan Kelantan menegaskan tiada keperluan untuk menghentikan pembalakan. Kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, timbalan menteri besar Kelantan, pembalakan di negeri itu bukan penyebab utama kejadian banjir.
Malah, katanya, kegiatan itu merupakan penyumbang kepada hasil negara.
Perubahan iklim
Meskipun kita tidaklah boleh menyalahkan sepenuhnya kepada kerajaan Kelantan, kerana masalah perubahan iklim ini adalah masalah satu dunia, PAS selaku parti Islam dan mengatakan Islam adalah penyelesaian terhadap segala persoalan, harus memikirkan bagaimana hendak mengurangkan dampak perubahan iklim.
Dilaporkan banyak kawasan akan tenggelam menjelang 2050, antaranya termasuk Jakarta dan beberapa kawasan di Malaysia, kerana paras air laut semakin naik.
Menggondolkan hutan, menghancurkan habitat flora dan fauna, bukanlah kaedah yang baik sama ada untuk ekonomi mahupun ekologi. PAS harus mula mengajarkan atau belajar fikah ekologi kepada para ahlinya.
PAS harus mengusahakan alternatif ekonomi yang lebih hijau antaranya seperti perlancongan juga dalam industri makanan – baik penternakan dan perladangan.
Jauh panggang dari api
Jika tidak, slogan Membangun Bersama Islam itu akhirnya hanyalah indah khabar dari rupa atau jauh panggang dari api dan eloklah kita tukarkan kepada ‘Membalak Bersama Ulamak’.
Berdasarkan hasil tulisan BENZ ALI, seorang penjual buku sepenuh masa. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan dan pendirian Permadu Malaysia.
End©Permadu
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG
Semua Hak Cipta Terpelihara
That's the article: Agamawan berlambak melebihi keperluan?
You are now reading the article Agamawan berlambak melebihi keperluan? with link address https://gemenne.blogspot.com/2022/01/agamawan-berlambak-melebihi-keperluan.html
Catat Ulasan